![]() |
| Kraftangan Malaysia menampilkan peragaan fesyen pada Sesi 7: Benang dan Sutera dengan bertemakan 'The Heritage Bloom', di M Resort & Hotel Kuala Lumpur. |
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menampilkan peragaan fesyen pada Sesi 7: Benang dan Sutera sempena The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2026 yang dihadiri oleh Yang Berusaha Encik Abdul Halim bin Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.
Bertemakan The Heritage Bloom, sesi ini menampilkan 20 koleksi tekstil yang merangkumi batik, tenunan, songket dan sulaman serta 15 koleksi aksesori daripada bidang aneka kraf iaitu kraf manik dan kulit. Koleksi ini diinspirasi daripada motif bunga-bungaan warisan yang sinonim di setiap negeri, sekali gus menyerlahkan kehalusan seni dan keunikan tekstil warisan Malaysia. Ia turut dipadankan dengan aksesori beg berasaskan kraf sulaman yang melengkapkan gaya lelaki moden yang yakin dan berkarisma.
Selain itu, Motif Bunga Identiti Negeri yang diperkenalkan oleh Kraftangan Malaysia turut diketengahkan dalam peragaan ini. Antara motif yang diketengahkan ialah Bunga Tanjung Kelopak Sembilan (Negeri Selangor), Bunga Ketam Guri (Negeri Kelantan), Padi (Negeri Kedah), Bunga Kenanga (Negeri Terengganu), Bunga Rafflesia (Negeri Sabah), Bunga Orkid Normah (Negeri Sarawak) dan Gambir (Negeri Johor) yang diterjemahkan secara kreatif dalam setiap rekaan tekstil.
Peragaan fesyen ini, mempersembahkan hasil rekaan daripada 13 orang usahawan kraf iaitu Abit Enterprise, Fleur Batik, Rumoh Songket, Zalan Songket Collection, Sharipah Mamat, Halimah Abdullah, Maliani Bolinsar, Seri Gedong Songket, Shirley Inta anak Jumin, Johiam Jitui, Rawo Leather Atelier, Miza Shafi Resources dan Ain Shaaidy. Turut menjayakan peragaan ialah Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd serta pereka Kraftangan Malaysia.
Penglibatan Kraftangan Malaysia dalam The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2026 mampu memperluaskan promosi produk kraf tempatan, khususnya batik, tenunan, songket dan sulaman ke platform komersial yang lebih meluas. Pada masa yang sama, inisiatif ini turut menyerlahkan kreativiti dan keupayaan usahawan kraf tempatan dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi, bernilai komersial serta berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Pautan gambar:
https://drive.google.com/drive/folders/1ZwwJSieu9DruGEF_yCPluF79QY8fHP8n?usp=sharing
SUMBER: KRAFTANGAN MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nuraishah Ya
Tel: +6018 3844780
E-mel: nuraishah@kraftangan.gov.my
--BERNAMA

No comments:
Post a Comment