Friday, September 10, 2021

ETAK SALAI: KANDUNGAN NUTRISI MAKANAN

JELI, 6 Sept (Bernama) -- Secara umumnya, etak salai yang diproses dan dijual di kedua-dua daerah yang banyak mengeluarkan etak salai dan ramai penggemarnya di negeri Kelantan iaitu di Tumpat dan Pasir Mas mencatatkan kandungan lemak antara 8.75 peratus hingga 11.14 peratus, kandungan protein antara  8.33 peratus hingga 10.92 peratus dan kandungan karbohidrat antara 0.22  peratus hingga 1.91 peratus.

Dengan kandungan nilai nutrisi yang dicatatkan, etak salai boleh dikategorikan sebagai makanan ringan berkhasiat dan sesuai dimakan oleh penggemarnya.

Corbicula fluminea nama saintifiknya yang juga dikenali sebagai “Kerang Asia” atau "Kerang Emas" merupakan kerang atau lokan air tawar bersaiz kecil berbentuk segi tiga bujur yang mempunyai dua bilah cengkerang dan makan secara saring atau filter feeder. 

Ia boleh ditemui di dasar sungai atau tasik yang berpasir, berselut atau campuran kedua-duanya. Warna kulit lokan air tawar atau etak ini bergantung kepada habitatnya iaitu jenis dasar sungai, kualiti air sungai dan kadar aliran sungai. 

Sungai yang mempunyai air yang jernih, air mengalir deras dan mempunyai dasar sungai berpasir akan menghasilkan etak berwarna kuning keemasan. 

Sementara etak yang ditemui dalam sungai yang berkelodak, air mengalir perlahan dengan dasar berselut akan berwarna gelap atau hitam.  Bagi etak yang ditemui di sungai yang agak berkelodak, air mengalir agak perlahan dan dasarnya terdiri daripada campuran pasir dan selut, warna etak adalah kehijauan. 

Di Negeri Kelantan lokan ini dikenali sebagai “etak” dalam dialek Kelantan.  Etak digunakan sebagai bahan asas dalam penyediaan makanan oleh penduduk-penduduk di benua Asia seperti China, Taiwan, Jepun, Vietnam, Thailand, Indonesia, Cambodia dan Malaysia.

Kaedah memasak etak pada dasarnya adalah sama dengan kaedah memasak kerang samada digoreng, masak sup atau dibuat sambal tumis dan dimakan sebagai lauk-pauk bersama nasi putih. 

Walau bagaimanapun, di negeri Kelantan ianya agak unik, etak yang telah diperap dengan rempah ratus disalai sebelum dimakan sebagai makanan ringan.

Etak salai boleh ditemui dijual di pasar-pasar basah, pasar-pasar malam dan juga di tepi-tepi jalan utama di seluruh negeri Kelantan. 

Oleh itu, etak telah menjadi satu produk lokan air tawar yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi bagi negara-negara di Asia Tenggara terutama di Cambodia dan Malaysia. 

Walaupun etak salai terkenal di negeri Kelantan, sumber etak mentahnya datang daripada beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu dari Johor, Pahang, Selangor, Terengganu dan Perak. 

Ini kerana sumber etak daripada negeri Kelantan sendiri telah habis akibat daripada gangguan habitat dan juga pencemaran sungai. 

Akhir-akhir ini, sumber daripada negeri-negeri lain juga semakin berkurangan kerana masalah yang sama.  Justeru, sebagai alternatif, pengusaha etak salai Kelantan telah mengimpot etak mentah daripada Cambodia melalui Thailand. 

Etak mentah diimpot kerana permintaan etak salai yang tinggi dikalangan penggemarnya di Kelantan dan etak salai merupakan penyumbang ekonomi yang agak besar kepada masyarakat nelayan tradisional di Kelantan. 

Penjual etak salai boleh ditemui di kesemua daerah di negeri Kelantan tetapi daerah yang paling ramai ialah di Tumpat dan Pasir Mas.

Pada dasarnya penggemar etak salai di Kelantan makan etak salai kerana rasanya yang enak dengan campuran rempah ratus tradisional dan cara masak yang menggunakan kaedah salai.

Mereka sebenarnya tidak tahu tentang kandungan nutrisi yang ada dalam etak.  Justeru, satu kajian telah dibuat bagi menilai atau mengenalpasti kandungan nutrisi dalam etak salai yang boleh memberi khasiat kepada penggemarnya.

Etak salai dibeli dari tiga gerai yang berbeza dari daerah Tumpat dan tiga gerai yang berbeza di daerah Pasir Mas dengan jumlah enam gerai. Kedua-dua daerah ini dipilih sebagai tapak kajian kerana kedua-duanya mempunyai penjual dan penggemar etak yang paling ramai. 

Etak salai yang disampel atau dibeli dari enam buah gerai dari dua daerah tadi dibawa ke makmal Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebelum analisa dijalankan. 

Tiga komponen nutrisi makanan telah dianalisa dimakmal iaitu lemak, protein dan karbohidrat. Disamping itu, kandungan kelembapan dan kandungan abu di dalam tisu etak salai juga ditentukan untuk tujuan pengiraan kandungan karbohidrat.

Kesemua sampel etak salai yang disimpan dalam peti sejuk di makmal Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan tadi dikeluarkan isi atau tisunya dengan menggunakan pisau nipis. 

Tisu atau isi etak salai tadi dikeringkan di dalam ketuhar udara pada suhu 105°C selama 24 jam. Bagi mendapatkan peratus kandungan kelembapan tisu etak, berat sampel kering dibahagikan dengan berat sampel basah dan didarabkan dengan 100.

Sementara untuk penentuan kandungan abu, sampel dibakar dalam relau pada suhu 550˚C selama 4 jam dan dibenarkan sejuk ke suhu bilik sebelum ditimbang. Berat abu dibahagikan dengan berat sampel basah dan didarabkan dengan 100 untuk mendapatkan peratusan kandungan abu.

Penentuan lemak mentah dalam tisu etak salai pula dibuat dengan cara melarutkan lemak dengan menggunakan sejenis solven iaitu ether petroleum, kemudian solven tersebut di sejatkan dengan menggunakan alat yang diberi nama Soxhlet. 

Baki yang tertinggal dalam Soxhlet adalah merupakan kandungan lemak mentah yang diukur dalam peratus.  Sementara itu, bagi mendapatkan kandungan protein dalam tisu etak mentah pula, satu kaedah yang dinamakan Kjeldahl digunakan dan ukurannya juga adalah dalam peratus.

Akhir sekali ialah penentuan kandungan karbohidrat di dalam tisu etak salai iaitu dengan mengambil jumlah jisim tisu etak atau 100% ditolak dengan jumlah kelembapan, abu, lemak mentah dan protein.  Kandungan karbohidrat juga diukur dalam peratus. 

Berdasarkan kepada keputusan analisa, kandungan kelembapan dalam tisu etak salai daripada daerah Pasir Mas dan Tumpat yang diambil, mencatatkan julat diantara 75.90 peratus hingga 79.68 peratus.

Nilai kelembapan ini dikatakan sangat sesuai untuk etak salai kerana ia boleh mengekalkan keenakan apabila dimakan sebagai makanan ringan. Rasa rempah ratus yang diperap sebelum disalai masih kekal di dalam tisu etak.

Sementara kandungan abu pula mencatatkan julat antara 1.60 peratus hingga 1.96 peratus.  Kandungan abu dalam tisu etak salai yang diambil bagi kedua-dua daerah adalah dalam julat yang dibenarkan atau julat yang biasa bagi kandungan abu dalam makanan dimana ianya tidak melebihi 5 peratus.

Kandungan abu sebenarnya sangat penting bagi menentukan kandungan mineral dalam makanan. Ini kerana apabila tisu etak dibakar dalam suhu yang tinggi ia akan memusnahkan kesemua bahan organik dan meninggalkan bahan bukan organik sebagai abu dan bahan bukan organik inilah yang dinamakan sebagai bahan mineral. Kandungan mineral boleh dibahagi kepada dua iaitu kandungan mineral yang baik untuk kesihatan seperti kalsium, fosforus, potasium dan sodium serta kandungan mineral yang memudaratkan kesihatan seperti plumbum, merkuri, cadmium dan aluminium.  Walau bagaimana pun kajian ini tidak membuat analisa tentang jenis-jenis serta kandungan mineral dalam tisu etak salai.

Sebenarnya terdapat empat jenis lemak dalam makanan yang boleh dikelaskan kepada lemak baik dan lemak jahat. Lemak jahat terdiri daripada saturated fats dan trans fats, sementara lemak baik terdiri daripada monounsaturated fats dan polyunsaturated fats.

Lemak jahat boleh meningkatkan kolesterol jahat (LDL) dalam badan, sementara lemak baik boleh mengurangkan kandungan kolesterol jahat dalam badan.

Sebenarnya lemak sangat penting dalam badan kita untuk memberi tenaga, menyokong pertumbuhan sel badan, melindungi organ, memanaskan badan kita, mengeluarkan beberapa hormon penting serta boleh bertindak sebagai penyerap nutrien makanan dalam badan. Walau bagaimana pun, kajian ini hanya menumpukan kepada total fats atau jumlah lemak sahaja. 

Kandungan lemak bagi tisu etak salai yang diambil dari enam gerai di dua daerah di Kelantan iaitu Pasir Mas dan Tumpat mencatatkan julat diantara 8.75 peratus hingga 11.14 peratus dan ianya berada di dalam julat yang sama dengan kandungan lemak dalam daging haiwan.

Protein merupakan elemen yang juga sangat penting untuk kesihatan dan tumbesaran badan manusia.  Rambut dan kuku sebahagian besarnya terdiri daripada protein.

Badan manusia menggunakan protein untuk membina dan membaiki tisu-tisu badan. Protein juga merupakan bahan utama dalam pembentukan tulang, otot, kulit dan darah.

Pendek kata protein merupakan nutrisi utama atau macronutrient yang diperlukan oleh badan manusia.  Hasil kajian mendapati etak salai daripada enam gerai di daerah Pasir Mas dan Tumpat mempunyai kandungan protein antara 8.33 peratus hingga 10.92 peratus . 

Etak salai boleh dikatakan mempunyai nilai protein yang agak tinggi bagi menggantikan protein daripada sumber lain seperti ikan dan daging.

Karbohidrat juga tidak kurang pentingnya terhadap badan manusia berbanding protein.  Karbohidrat juga membekalkan tenaga serta memainkan peranan penting dalam struktur dan fungsi sel, tisu dan organ badan.

Hasil kajian mendapati etak salai daripada enam gerai di daerah Pasir Mas dan Tumpat mempunyai kandungan karbohidrat antara 0.22 peratus hingga 1.91 peratus. 

Kandungan karbohidrat dalam etak salai tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan karbohidrat yang diperolehi daripada nasi tetapi sekurang-kurangnya ia boleh juga menyumbang kepada keperluan karbohidrat harian kita.   

SUMBER: Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
 
Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman
Tel: 0199811719
E-mel: adzwan@umk.edu.my

--BERNAMA

Wednesday, September 8, 2021

APLIKASI MATEMATIK DALAM BIOSAINS

JELI, 8 Sept (Bernama) -- Sebagai seorang pensyarah bidang matematik berhadapan dengan situasi ketakutan atau kegelisahan matematik oleh sebahagian besar pelajar adalah perkara biasa. 

Kebanyakan mereka berkongsi pengalaman yang tidak menyenangkan dalam matematik.    Maka tidak hairanlah sekiranya ada yang mengatakan MATHS adalah singkatan kepada Mental Arithmetic Teachers Harassing Students.

Oleh itu, memastikan para pelajara merasa teruja, seronok dan menarik sepanjang pembelajaran matematik merupakan cabaran kepada tenaga pengajar dalam bidang ini. 

Sebenarnya matematik adalah seni kefahaman manusia. Intipati matematik bukanlah untuk menjadikan perkara-perkara yang rumit bertambah rumit, tetapi untuk menjadikan perkara rumit lebih mudah. Ini dapat dilakukan melalui pencarian pola, dan pola matematik yang terhasil itu mesti indah dengan penjelasan yang bermakna. 

Apabila pola matematik ditemui dalam sesuatu kajian, maka pola matematik tersebut dapat digunakan untuk menjelaskan dan mengawal kejadian dan situasi semula jadi dalam bidang yang dikaji. Terdapat banyak aplikasi matematik dalam pelbagai bidang ilmu, namun artikel ini akan hanya berkongsi contoh mudah aplikasi matematik dalam biosains.

Kontemporari biosains menyatukan pengetahuan dan kefahaman tentang kehidupan dalam pelbagai skala dan perspektif; dari evolusi, biodiversiti dan ekologi hingga genetik, biokimia dan biologi molekul.

Dalam biosains, matematik membantu dalam pemodelan. Pemodelan merujuk kepada aplikasi matematik dalam membina model bagi mewakili sesuatu proses dalam biosains.

Setelah model dibina, ia akan digunakan untuk meramalkan atau mengoptimumkan proses tersebut.  Banyak kegunaan model matematik dalam biosains bergantung kepada tujuan atau objektif kajian yang dijalankan. 

Antaranya, model matematik boleh digunakan untuk menggambarkan fenomena biologi dalam kajian berkaitan biosains.  Ianya boleh juga digunakan sebagai bukti untuk menyokong atau membantah hipotesis kajian. 

Selain itu model matematik juga boleh  dijadikan sebagai rujukan dalam mencadangkan eksperimen baru atau proses simulasi untuk sesuatu rawatan yang belum diuji dalam makmal.   Akhir sekali, model matematik ini juga boleh digunakan untuk menganggar parameter yang tidak dapat diakses secara eksperimen.

APLIKASI MATEMATIK DALAM BIOSAINS

HASIL INOVASI DARI TEAM EXCELLENCE HOSPITAL KPJ JOHOR SPECIALIST TINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN PELANGGAN

PETALING JAYA, 7 Sept (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sentiasa menggalakkan organisasi untuk membudayakan inovasi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan kehidupan masyarakat. Projek inovasi yang telah dijalankan melalui program intervensi produktiviti dan inovasi oleh MPC telah memberi impak yang besar kepada Hospital KPJ Johor Specialist.
 
Mereka telah menghasilkan alat sokongan yg dinamakan SHOECOEYE yang dapat mengurangkan risiko pesakit dari terjatuh sebanyak 22%. Selain dari itu, mereka berjaya meningkatkan jumlah pesakit dirawat sebanyak 6.78% serta meningkatkan kadar kesediaan bilik untuk menerima pesakit baru (Bed Occupancy Rate) kepada 6%. Hasil jumlah pendapatan dan penjimatan kos projek secara keseluruhannya telah menyumbang sebanyak RM243,128 setahun.
 
MPC menyediakan platform kepada industri seperti program Konvensyen Team Excellence untuk mempamerkan projek inovasi yang telah dijalankan di organisasi masing-masing melalui pendekatan kreativiti, inovasi dan penciptaan nilai (value creation) bagi meningkatkan kemahiran serta daya saing dalam industri. Menurut YBhg. Datin Zainon Bakar, Timbalan Ketua Pengarah MPC, “Penganjuran konvensyen Team Excellence dapat memperkukuhkan budaya inovasi secara berterusan melalui penambahbaikan inovasi dalam proses kerja, kualiti dan produktiviti. Pada tahun 2020, sebanyak 273 kumpulan telah menyertai konvensyen Team Excellence peringkat wilayah (RISTEx) di seluruh Malaysia dan secara keseluruhannya penciptaan nilai yang dihasilkan dari projek mereka adalah berjumlah RM368 juta”.
 
“Kebanyakan projek-projek inovasi yang dihasilkan menekankan tentang kecekapan sistem, proses dan cara kerja dalam organisasi yang mengambil kira faktor alam sekitar dan kelestarian. Pada tahun ini, MPC mengharapkan lebih banyak inovasi dapat dihasilkan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat seperti yang dipamerkan oleh Hospital KPJ Johor Specialist”, menurut YBhg. Datin Zainon.
 
Program RISTEx ini akan dilaksanakan melalui atas talian pada 8-9 September 2021 iaitu secara serentak di Ibu Pejabat bersama Pejabat-Pejabat Wilayah MPC dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Gabungan enam wilayah ini dijangka dapat memberi penjimatan dalam kos dan masa malah meningkatkan kecekapan pentadbiran RISTEx pada kali ini. Penganjuran RISTEx 2021 ini juga diperkukuhkan lagi dengan transformasi digital, di mana pengurusan konvensyen bermula dari proses pendaftaran, sehinggalah penjanaan sijil penyertaan, diurus secara atas talian melalui Sistem TE Go Digital.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC):
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menjalankan aktiviti bagi peningkatan produktiviti, kualiti dan daya saing. Visi utama MPC ialah menjadi peneraju dalam meningkatkan produktiviti ke arah daya saing global yang kompetitif dan berinovasi.  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14946

PROGRAM CSR HASIL PRIHATIN: LHDNM SERAH 200 BAKUL MAKANAN KEPADA PENDUDUK DI SEKITAR DAERAH KLUANG, JOHOR

KLUANG, 6 Sept (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus aktif dalam mengagihkan bantuan bakul makanan menerusi Program CSR Hasil Prihatin apabila sebanyak 200 bakul makanan lagi telah diserahkan kepada penerima yang dikenal pasti di sekitar Daerah Kluang, Johor.

Bakul-bakul makanan tersebut telah disampaikan oleh Encik Hafiz Bin Adnan, Pengarah Cawangan LHDNM Kluang kepada wakil-wakil masjid dan surau untuk diedarkan khusus kepada para penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Antara masjid dan surau yang terlibat ialah seperti yang berikut:

i. Masjid Jamek Kampung Tengah
ii. Masjid Nurul Iman, Taman Sri Lambak
iii. Surau Taman Pelangi
iv. Surau Al-Ghaffur, Bandar Kluang
v. Masjid Jamek Kampung Bentong
vi. Masjid Kampung Sri Lalang
vii. Surau Al-Ukhuwah, Kampung Palembang Lama
viii. Surau Al-Muhajirin, Bandar Seri Impian
ix. Surau Riyadhu Al Muttaqin, Taman Kluang Indah
x. Surau Al-Amin, Jalan Sawi Kluang
xi. Surau Jalan Omar, Bandar Kluang
xii. Masjid Taman Delima
xiii. Masjid Jamek Al-Yahya, Taman Kluang Barat
xiv. Masjid Jamek Taman Kasih
xv. Masjid Al-Ikram, Taman Sri Kluang
xvi. Surau Nurul Hidayah, Taman Intan 

Turut hadir dalam majlis yang berlangsung di Menara Hasil Kluang tersebut ialah Encik Md Kamal Bin Johan, Pengarah Negeri LHDNM Johor dan pegawai-pegawai kanan LHDNM Cawangan Kluang. 

Saturday, September 4, 2021

AMAZON MENGUMUMKAN PELABURAN DI DALAM PENYELESAIAN PENYINGKIRAN KARBON BERASASKAN ALAM SEMULA JADI DI BRAZIL DENGAN THE NATURE CONSERVANCY

Inisiatif itu akan dilancarkan di hutan hujan Amazon, dengan tumpuan kepada penghutanan semula dan penjanaan semula agroperhutanan, sambil mendorong pembangunan ekonomi tempatan yang mapan

Pelaburan Amazon bertujuan untuk menyingkirkan sehingga 10 juta metrik tan pelepasan karbon dioksida sehingga tahun 2050 — bersamaan dengan pelepasan asap dari 2 juta kereta selama satu tahun

SEATTLE, 3 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menyokong penyelesaian global kepada krisis iklim, Amazon (NASDAQ: AMZN) hari ini mengumumkan pelancaran Pemecut Agroperhutanan and Pemulihan dengan kerjasama The Nature Conservancy, sebuah organisasi alam sekitar global. Pemecut itu akan mewujudkan satu sumber pendapatan yang lebih mapan bagi ribuan petani tempatan di negeri Pará, yang terletak di kawasan Amazon di Brazil, dan pada masa yang sama memulihkan hutan hujan asli dan memerangi perubahan iklim dengan memerangkap dan menyimpan karbon secara semula jadi.

Menurut Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim, penyelesaian berasaskan alam semula jadi mempunyai satu peranan penting untuk dimainkan dalam menghindari kesan paling buruk daripada perubahan iklim. Kerajaan dan sektor swasta dapat mengurangkan pelepasan karbon dan mengeluarkan karbon daripada atmosfera dengan melabur di dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi pada skala besar. Pemecut Agroperhutanan dan Pemulihan adalah satu daripada projek penyingkiran karbon, dan merupakan sebahagian daripada komitmen Amazon dalam memenuhi Ikrar Iklim Itu,  yang mana syarikat itu diasaskan bersama dengan Global Optimism. Penandatangan kepada Ikrar itu komited untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2040—10 tahun di hadapan daripada Perjanjian Paris.

Sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memenuhi Ikrar Iklim itu, Amazon pertama sekali akan terus berinovasi dan melabur di dalam penyahkarbonan perniagaan mereka. Syarikat itu telah membeli 100,000 kenderaan penghantaran elektrik, dan merupakan pembeli korporat terbesar bagi tenaga boleh diperbaharui di dunia. Amazon juga melabur dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi di luar rantaian nilai mereka melalui Dana Right Now Climate, yang menyokong Pemecut itu dan projek lain untuk memulihkan tanah usang dalam cara yang meningkatkan mata pencarian masyarakat tempatan dan menyingkirkan karbon dari atmosfera. Selain itu, melalui LEAF Coalition yang diumumkan baru-baru ini — satu inisiatif awam-swasta untuk menggerakkan sekurang-kurangnya $1 bilion untuk melindungi hutan tropika dunia — Amazon dan rakan lain berusaha untuk membendung penebangan hutan tropika, mengurangkan jumlah karbon yang dilepaskan di atmosfera.

“Memulihkan hutan dunia adalah satu daripada tindakan yang paling bermakna yang dapat kami lakukan sekarang untuk menangani perubahan iklim, dan ia akan memerlukan penyelesaian yang berinovatif untuk berjaya,” kata Kara Hurst, naib presiden bagi kesinambungan dunia di Amazon. “Kami amat bangga untuk melancarkan Pemecut Agroperhutanan dan Pemulihan dengan kerjasama The Nature Conservancy untuk menyokong penyelesaian yang mengutamakan integriti persekitaran tinggi dan manfaat masyarakat yang teguh. Amazon berharap dapat menyumbangkan keghairahan kami untuk inovasi bersama dengan sokongan kewangan bagi meningkatkan mata pencarian masyarakat tempatan di Brazil, sambil membantu melindungi planet ini untuk generasi akan datang.”

“Sains adalah jelas berhubung sistem semula jadi sebagai keutamaan untuk menyerap karbon dari atmosfera dan laporan terbaharu IPCC menekankan perkara ini,” kata Christiana Figueres, pengasas bersama bagi Global Optimism dan bekas ketua iklim PBB yang bertanggungjawab bagi Perjanjian Paris. “Melindungi ekosistem yang sedia ada dan memulihkan tanah usang adalah sangat penting sebagai strategi pengurangan karbon, terutama dalam tempoh satu atau dua dekad berikutnya. Projek-projek yang mencapai ini untuk mengekalkan alam semula jadi dan mata pencarian masyarakat tempatan adalah sangat berharga kepada transformasi yang diperlukan untuk berkembang maju menjangkau krisis iklim itu. Tahniah kepada Amazon dan The Nature Conservancy.”

Pelaburan awal Amazon di dalam Pemecut itu akan menyokong 3,000 petani dan memulihkan kira-kira 20,000 hektar — sebuah kawasan tanah yang saiznya sama seperti Bandar raya Seattle — dalam tempoh masa tiga tahun, menyingkirkan sehingga 10 juta metrik tan karbon dioksida dari atmosfera sehingga tahun 2050.

The Nature Conservancy akan bekerjasama dengan Pusat Agroperhutanan Dunia dan beberapa organisasi masyarakat sivil tempatan untuk melaksanakan Pemecut itu dengan membantu petani kecil memulihkan padang ragut yang usang kepada hutan asli dan agroperhutanan. Sistem agroperhutanan itu akan menyediakan sebuah sumber pendapatan yang mapan kepada petani melalui penjualan koko dan tanaman lain. Pemecut itu akan juga  membuat eksperimen dengan cara-cara berinovatif untuk menyokong petani dan memelihara pasaran bagi komoditi berasaskan hutan lestari, termasuk dengan teknologi digital, dan akan memajukan metodologi baharu dan teknologi berasaskan satelit untuk mengukur dan memantau penyingkiran karbon.

“Pará adalah tempat bagi 9% peratus daripada hutan tropika dunia, tetapi ia menghadapi kadar penebangan hutan yang belum pernah terjadi sebelum ini, kehilangan 3,300 ekar setiap hari pada tahun lalu,” kata Jennifer Morris, Ketua Pegawai Eksekutif, The Nature Conservancy. “Sepanjang 13 tahun yang lalu, ladang-ladang kecil di Pará — sebuah kawasan di mana pertanian tebang-dan-bakar nampaknya merupakan satu-satunya pilihan — bertanggungjawab untuk purata 40% daripada penebangan hutan di negeri itu. Selama 20 tahun, The Nature Conservancy telah bekerjasama dengan petani kecil, pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, dan masyarakat Orang Asli untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian sama menang, seperti agroperhutanan, yang membantu orang ramai dan alam semula jadi berkembang maju. Perkongsian baharu itu dengan Amazon akan membolehkan kami untuk menyediakan sumber dan bantuan teknikal yang diperlukan untuk memajukan program ini dan menunjukkan bahawa penjanaan semula agroperhutanan dan pasaran karbon adalah model perniagaan yang berdaya maju untuk masyarakat di Amazon.”

“Kita harus bergabung untuk mencapai apa yang mungkin menjadi matlamat bagi abad ini: untuk membangunkan ekonomi kita dan melindungi pendapatan rakyat, dan pada masa yang sama memelihara dan memulihkan hutan,” kata Helder Barbalho, Gabenor bagi Pará. “Negeri Pará sudah bersiap sedia untuk menghadapi cabaran ini, dan strategi kami disusun dengan jelas di dalam rancangan Amazonia Agora kami, yang mengikat janji kami untuk mencapai bebas karbon menjelang tahun 2036, melalui pengurangan penebangan hutan dan dengan menggalakkan pemulihan hutan. Pelaburan, seperti Amazon, dalam agroperhutanan dan penghutanan semula hutan yang mapan di Pará adalah sangat dialu-alukan. Inisiatif ini akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat negeri itu, sumber semula jadi, dan kepelbagaian hayat.”

Untuk maklumat lanjut mengenai komitmen Amazon terhadap kelestarian, sila layari: https://sustainability.aboutamazon.com.

Maklumat mengenai Amazon

Amazon dipandu oleh empat prinsip: Obsesi pelanggan dan bukannya tumpuan pesaing, keghairahan untuk daya cipta, komitmen terhadap kecemerlangan operasi, dan pemikiran jangka panjang. Amazon berusaha untuk menjadi Syarikat Yang Paling Berpusatkan Pelanggan di Dunia, Majikan Terbaik di Dunia, dan Tempat Kerja Paling Selamat di Dunia. Ulasan pelanggan, membeli-belah 1-Klik, cadangan peribadi, Prime, Capai Keinginan oleh Amazon, AWS, Kindle Direct Publishing, Kindle, Pilihan Kerjaya, tablet Fire, Fire TV, Amazon Echo, Alexa, teknologi Just Walk Out, Amazon Studios, dan Ikrar Iklim adalah sebahagian daripada perkara yang dipelopori oleh Amazon. Untuk maklumat lanjut, sila layari amazon.com/about dan ikuti @AmazonNews.

Maklumat mengenai The Nature Conservancy

The Nature Conservancy adalah sebuah organisasi pemuliharaan global yang didedikasikan kepada memelihara tanah dan air yang mana semua kehidupan bergantung kepadanya. Dengan berpandukan sains, kami mencipta penyelesaian yang berinovatif dan di lapangan kepada cabaran kami yang paling sukar di dunia agar alam dan manusia dapat berkembang maju bersama. Kami menangani perubahan iklim, melestarikan tanah, air dan lautan pada skala yang belum pernah terjadi sebelum ini, menyediakan makanan dan air secara lestari dan membantu menjadikan bandar raya lebih lestari. Beroperasi di 72 buah negara dan wilayah: 38 oleh kesan pemuliharaan langsung dan 34 melalui rakan kongsi, kami menggunakan satu pendekatan usaha sama yang melibatkan masyarakat setempat, kerajaan, sektor swasta, dan rakan lain. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari www.nature.org atau ikuti @nature_press di Twitter. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14937

Friday, September 3, 2021

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2021 DI AEON - SEDERHANA NAMUN PENUH BERMAKNA

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- AEON CO. (M) BHD. (AEON atau Syarikat) menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bersama-sama dengan para pekerja serta para pelanggan dengan cara sederhana namun penuh bermakna.
 
Pada tanggal 31 Ogos 2021, tepat jam 12.00 tengah hari, segala aktiviti di pasar  raya - pasar raya AEON berhenti selama dua minit apabila Negaraku berkumandang dan semua yang mendengar berdiri tegak sambil menghayatinya. Ianya memberi penghormatan kepada lagu kebangsaan serta simbolik sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 bagi melambangkan perasaan kecintaan terhadap negara.
 
Negaraku kedengaran penuh bersemangat di kesemua 28 AEON Mall, 34 AEON Stor, 22 AEON BiG, 9 MaxValu Prime, 65 AEON Wellness dan 42 DAISO di seluruh negara yang dinyanyikan secara serentak oleh ribuan AEON Warriors serta pelanggan AEON. Ini membuktikan biarpun dipisahkan oleh sempadan daerah dan negeri, rakyat tetap bersatu hati dan bersepakat dalam memperingati hari yang penuh bersejarah ini.
 
Sambutan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakkan fizikal.
 
Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON berkata, “Hari Kebangsaan tahun ini sedikit berbeza kerana ianya bukan hanya berkenaan semangat nasionalisme sahaja tetapi juga semangat untuk membebaskan diri dari pandemik yang melanda. Dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita kini berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada  semua AEON Warriors, rakan niaga serta para pelanggan AEON yang telah bersama-sama dengan kami dalam memerangi wabak ini.”
 
“Marilah kita sama-sama BERSYUKUR kerana dapat meraikan detik-detik yang penuh bermakna ini, serta terus cekal BERJUANG dalam menghadapi cabaran semasa dan BANGKIT membina negara untuk hari esok yang lebih baik,” ujar Shafie lagi.
 
Menurut Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat AEON, “Kami berusaha untuk turut memainkan peranan bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan para pelanggan terutama generasi muda. Ini selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 16) yang mempromosikan masyarakat aman, adil dan inklusif dalam memastikan pembangunan yang berterusan.”
 
“Sehubungan dengan itu, dalam menyemarakkan lagi sambutan tahun ini, AEON Mall Shah Alam menyediakan Kod QR gergasi bersaiz 1,000 kaki persegi bertempat di Centre Court dari sekarang hingga ke 16 September 2021. Apabila diimbas menggunakan telefon pintar, para pelanggan akan berpeluang untuk menikmati lagu patriotik berentak kontemporari yang dihasilkan oleh AEON bersama Awi Rafael berjudul ‘Ayuh Kita Merdeka 2.0’ nyanyian Aiman Tino, Mimy Fly dan beberapa orang lagi,” tambah Dr. Kasuma.
 
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bakal melakar sejarah AEON yang tersendiri sekiranya Malaysia Book of Records mengesahkan dalam waktu terdekat yang ianya disenaraikan sebagai pemegang rekod ‘Cawangan Paling Banyak Menyertai Nyanyian Lagu Kebangsaan Secara Serentak’.
 
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, AEON menganjurkan kempen jualan dari 27 Ogos hingga 16 September yang bertemakan ‘Bersyukur, Berjuang dan Bangkit’ dalam mendorong rakyat agar terus bersyukur, cekal berjuang menghadapi pandemik serta bangkit membina negara untuk hari esok yang lebih baik.
 

Mengenai AEON
 
AEON CO. (M) BHD. adalah syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia dengan 28 AEON MALL, 34 AEON Stor, 9 MaxValu Prime, 65 AEON Wellness dan 42 DAISO di seluruh negara. Ia ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai maklum balas kepada jemputan oleh Kerajaan Malaysia dalam membantu memodenkan industri peruncitan  negara.
 
AEON BiG (M) SDN BHD mengendalikan 22 pasar raya besar dengan nama  dagang "AEON BiG" di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat. Pengambilalihan AEON BiG adalah sebahagian daripada rancangan AEON Group untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara dan mengembangkan lagi operasi Asean.
 
AEON terus berusaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. Berpandukan kepada falsafah “Pelanggan Didahulukan”, pemahaman mendalam mengenai keperluan pasaran sasaran, dibantu oleh campuran produk yang optimum, AEON beriltizam untuk melangkaui jangkaan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka setiap kali mereka berbelanja di rangkaian AEON.
 
Dengan semangat AEON yang bermaksud ‘berkekalan’ dalam Bahasa Latin, matlamat AEON adalah untuk memastikan kerjasama lestari dengan para pelanggan, pembekal, rakan niaga, pemegang saham dan komuniti untuk mewujudkan masa hadapan yang tiada had.
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Laman Web: www.aeonretail.com.my
Facebook: www.facebook/aeonretail.com / www.facebook.com/MYAEONBiG/
Instagram: www.instagram.com/aeonretail.my / www.instagram.com/myaeonbig/?hl=en
Twitter: @AEON_Malaysia

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14936

 

Thursday, September 2, 2021

SPRIX, MENGGALAKKAN LEBIH BANYAK TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI UNTUK PENDIDIKAN DI JEPUN, MENINJAU 22,000 KANAK-KANAK DAN IBU BAPA DI 11 BUAH NEGARA DI DUNIA MENGENAI PEMBELAJARAN




Penglibatan Ibu Bapa dan Motivasi Kanak-kanak Berkaitan dengan Kadar Pengekalan Pembelajaran Anak-anak


TOKYO, 1 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Institut Penyelidikan SPRIX, yang dikendalikan oleh SPRIX (Ibu Pejabat: Toshima Ward, Tokyo) (Wakil Pengarah dan Presiden: Hiroyuki Tsuneishi) telah melaksanakan dua tinjauan yang dirancang untuk lebih memahami keadaan pendidikan di seluruh dunia. Kedua-dua tinjauan itu mensasarkan kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga mereka di sebelas buah negara yang berlainan. Tinjauan pertama adalah satu tinjauan kesedaran, bertumpukan kepada pembelajaran, dan yang kedua adalah satu tinjauan pengetahuan, yang bertumpu kepada pengukuran bagi kemahiran akademik asas.

Siaran media ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini:
https://www.businesswire.com/news/home/20210831005018/en/

Setiap tinjauan itu melibatkan satu ribu responden di setiap negara, untuk sejumlah 22,000 responden kanak-kanak, ibu bapa, dan penjaga. Hasilnya menunjukkan bahawa negara yang mempunyai tahap ketekalan dan pengekalan pembelajaran yang lebih tinggi untuk kemahiran akademik asas juga mempunyai kadar penglibatan ibu bapa atau penjaga yang lebih tinggi di dalam pembelajaran kanak-kanak itu. Hasil tinjauan kemahiran akademik asas juga menunjukkan trend kadar tindak balas yang lebih tinggi apabila profesion masa depan seseorang kanak-kanak diketahui dengan jelas.

Sorotan Hasil Tinjauan

1. Purata kadar tindak balas bagi hasil tinjauan kemahiran akademik asas melebihi tujuh puluh peratus di Asia. Hasil bagi Eropah dan Amerika Syarikat pada umumnya adalah lebih rendah.
Kami melihat perbezaan wilayah yang jelas di dalam kadar ketekalan dan pengekalan pembelajaran bagi kanak-kanak berumur lima belas tahun dan ke bawah.

2. Kanak-kanak dari negara-negara dengan kadar ketekalan dan pengekalan pembelajaran yang lebih tinggi mempunyai satu visi yang lebih jelas bagi masa depan mereka.
Kanak-kanak dengan satu visi masa depan yang jelas mempunyai minat yang jelas terhadap kelas-kelas sekolah dan belajar sendiri.

3. Semua negara yang ditinjau menyedari pentingnya kemahiran akademik asas.
Walaupun begitu, beberapa perbezaan telah dilihat di dalam pendekatan kepada pembelajaran di Asia dan Eropah dan Amerika Syarikat.

4. Kepuasan di kelas-kelas sekolah melebihi lapan puluh peratus. Peralihan pandemik kepada pembelajaran dalam talian telah menjadi ketara. Lebih daripada tujuh puluh peratus ibu bapa dan penjaga mahukan satu tinjauan pengetahuan untuk secara berkala mengkaji kesukaran kelas-kelas dalam talian semasa pandemik seperti COVID-19.
 
CATATAN: Semasa berkongsi kandungan daripada siaran akhbar ini, nyatakan bahawa mereka telah dihasilkan oleh Institut Penyelidikan SPRIX. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14930