Saturday, June 12, 2021

ANUGERAH REKA BENTUK KRAF 'MALAYSIA WICITRA CRAFT AWARD 2021 (WICITRA2021)

 KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia menganjurkan Anugerah Reka Bentuk Kraf 'Malaysia WICITRA Craft Award 2021 (WICITRA2021) serta mempelawa semua penggiat kraf Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang terdiri daripada usahawan kraf, pereka, artisan, pelajar serta mana-mana individu yang terlibat dengan industri kraf untuk menyertai Anugerah Reka Bentuk Kraf 'Malaysia WICITRA Craft Award 2021 (WICITRA2021). 'WICITRA2021' merupakan inisiatif Kraftangan Malaysia untuk memastikan kelestarian industri kraf dapat terus berkembang maju dari masa ke masa. Anugerah 'WICITRA2021' ini dianjurkan untuk membuka peluang serta memberi pengiktirafan kepada penggiat seni kraf yang telah menzahirkan kreativiti mereka melalui pengeluaran produk kraf tangan yang berkualiti dan bermutu tinggi. Setiap penyertaan terbuka kepada lima segmen produk iaitu Pakaian / Apparel, Aksesori Fesyen / Fashion Accessories, Kelengkapan Rumah & Taman / Home, Garden & Housewares, Hadiah & Cenderamata / Gift & Souvenirs dan Hobi & Gaya Hidup / Hobbies & Lifestyle juga melibatkan enam kategori ataupun bahan iaitu Tekstil, Hasil Rimba, Hasil Tanah, Logam, Aneka Kraf dan Media Campuran. Seramai tiga orang peserta dari setiap kategori akan dipilih sebagai penerima Anugerah WICITRA 2021 dan akan menerima Medal, Sijil Kecemerlangan dan Hadiah wang tunai RM1,000.00. Manakala Anugerah Khas Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Satu penerima sahaja) akan membawa pulang Trofi, Sijil Kecemerlangan Anugerah Khas dan Hadiah wang tunai RM3,000. Penyertaan untuk anugerah ini sedang dibuka dan akan berakhir pada 3 Julai 2021. Maklumat lanjut dan syarat penyertaan boleh didapati di laman web Institut Kraf Negara di alamat https://www.ikn.gov.my/wicitra2021. Orang ramai juga boleh menghubungi : Encik Norzehan Adli Bin Muhammad - 03-6091 5322 ext 109 / HP : 013-378 3193 Cik Zurainah Bt. Umor - 03-6091 5322 ext 106 / HP : 017-394 4209 Puan Nik Siti Dalila Bt. Nik Ariff - 03-6091 5322 ext 152 / HP : 013-914 3121 SUMBER: Kraftangan Malaysia http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14630

Thursday, June 10, 2021

USAHAWAN BERDEPAN SITUASI MENCABAR - AZIZAN OSMAN

 SHAH ALAM, 10 Jun (Bernama) -- Dunia keusahawanan secara keseluruhannya berdepan situasi yang mencabar berikutan total lockdown yang terpaksa dilakukan di samping tempoh pemulihan akan mengambil masa agak lama.

 
Menurut Mentor Usahawan & Pakar Pemasaran No.1 Asia, Datuk Wira Dr Azizan Osman, cabaran dilalui bukannya mudah bagi usahawan terutama peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro yang tak biasa menggunakan platform online seperti media sosial.
 
Katanya, duit simpanan sesetengah usahawan itu mungkin sudah semakin habis dan berkurangan dengan keadaan bisnes yang tutup dan buka berikutan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) dari tahun lalu.
 
"Ramai sebenarnya (usahawan) dengan simpanan sudah habis, nak bayar komitmen yang sangat kritikal sekarang.
 
"Saya nampak benda ini berlaku depan mata sendiri. Cabaran dilalui ini tak mudah untuk kita semua khususnya usahawan tidak kira di mana tahap mereka," katanya ketika ditemubual oleh hos Sherkawi Jirim pada program Ruang Bicara bertajuk Total Lockdown: Bagaimana Survival Usahawan? pada malam tadi.
 
Tambah Azizan, kalaulah usahawan boleh dapat sokongan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, di mana mungkin dapat lanjutan 6 bulan moratorium lagi hingga hujung tahun ini dan Program Subsidi Upah (PSU) dilihat perlu dilanjutkan bukan hanya 1 bulan seperti diumumkan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS)  yang mana melibatkan sekitar 7.3 juta pekerja.
 
"Apa yang kerajaan cuba bagi ini (PEMERKASA Plus) sangat bagus, dan kalaulah seandainya boleh melihat daripada beberapa aspek iaitu moratorium dan PSU untuk tambah baik lagi dengan pemulihan usahawan dan ekonomi tidak akan berlaku dalam masa 1 ke 3 bulan lagi.
 
"Saya fikir ini adalah satu perkara yang akan membantu kita sama-sama bertahan dalam situasi ini dan dengan cepat usahawan boleh bangkit kembali seterusnya membantu kembali Keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mana PKS sumbang sebanyak 38 peratus," jelasnya lagi.
 
Dalam pada itu, pesan Azizan kepada usahawan di luar sana agar mereka tengok orang dan usahawan lain yang berjaya ketika ini untuk sesuaikan dalam bisnes sendiri.
 
"Jika keadaan tak berapa bagus ketika apa yang anda buat sekarang, cuba ubah cara lain seperti tukar kepada online. InsyaAllah ada cara.
 
"Secara jujurnya ia tak mudah ya, sebab kita dah biasa berniaga benda atau cara itu bertahun dan kemudian tiba-tiba berlaku keadaan seperti ini," ujarnya.
 
Untuk maklumat lanjut tentang program sokongan RichWorks seperti Business Bootcamp 101 yang berlangsung secara percuma sekarang, orang ramai boleh pergi ke akaun Telegram: Azizan Osman Official.
 
  
TENTANG RICHWORKS

Richworks International adalah penganjur acara dan seminar terbesar di Malaysia dalam bidang pembangunan keusahawanan dan pemasaran.

Sejak 2008, RichWorks melatih lebih dari 10,000 syarikat menerusi Master Coach Azizan Osman dan menarik lebih daripada 1.1 juta peserta dalam lebih 1,500 acara dan seminar live dan online. Rekod prestasi terbukti, strategi perniagaan dan program mentoring, RichWorks berjaya membantu beribu-ribu usahawan dan jutawan yang berjaya dalam tempoh 6-24 bulan.

TENTANG DATUK WIRA DR AZIZAN OSMAN

Accredited Business, Marketing & Leadership Coach, Mentor & Strategist, Serial Entrepreneur & Best-Selling Author. Beliau seorang World Class Business Educator dan Asia's No.1 Business, Marketing & Leadership Coach terkenal dengan keupayaan uniknya untuk membimbing anak muridnya sehingga mendapat peningkatan luar biasa dalam perniagaan dan beribu-ribu pemilik perniagaan dan usahawan telah berjaya menerusi strategi dan metodologi kejayaannya yang telah terbukti untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka dari sifar hingga mencecah jualan berjuta-juta ringgit.
 
 
SUMBER : Richworks International Sdn Bhd

PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA BAGI PEROLEHAN PERKHIDMATAN UKIRAN KAYU DAN JADUAL KADAR HARGA BANTU MEMARTABAT DAN MEMELIHARA SENI WARISAN KRAF UKIRAN KAYU

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk memartabatkan seni warisan kraf ukiran kayu di negara ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Pekeliling Bagi Perolehan Perkhidmatan Ukiran Kayu dan Jadual Kadar Harga berkuat kuasa mulai 1 Mac 2021.

Pekeliling ini merupakan satu inisiatif untuk memelihara kelestarian seni kraf ukiran kayu di Malaysia. Ia juga bagi mengiktiraf dan melindungi kebajikan usahawan kraf, pengukir-pengukir serta syarikat dalam bidang ukiran kayu yang dilantik oleh Kontraktor Utama bagi melaksanakan sesuatu projek Kerajaan agar menerima kadar bayaran setimpal dengan kerja-kerja ukiran kayu yang dibuat. Kadar bayaran bagi kerja-kerja ukiran kayu ini dinilai berdasarkan kepada rekaan motif, kehalusan kerja dan nilai estetika ukiran kayu yang dihasilkan.

PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA BAGI PEROLEHAN PERKHIDMATAN UKIRAN KAYU DAN JADUAL KADAR HARGA BANTU MEMARTABAT DAN MEMELIHARA SENI WARISAN KRAF UKIRAN KAYU

Friday, June 4, 2021

DEFINISI BATIK MALAYSIA DILINDUNGI MELALUI PERUNDINGAN AWAM

PETALING JAYA, 3 Jun (Bernama) -- Orang ramai digesa untuk turut serta dalam sesi rundingan awam bagi menghasilkan definisi Batik Malaysia yang jelas serta mudah difahami.
     
Sesi rundingan yang dijalankan secara digital melalui portal Unified Public Consultation (UPC) https://upc.mpc.gov.my dengan kerjasama antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).
     
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata perundingan awam ini bermula pada 13 April 2021 dan akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021 di bawah tajuk Definisi Batik Malaysia.
     
“Perundingan awam berkenaan definisi batik ini dilaksana bagi mendapatkan persetujuan bersama daripada kalangan masyarakat, persatuan kraftangan, pihak berkepentingan dan pemain industri kraf tekstil batik negara. MPC memohon kerjasama dan maklum balas daripada agensi-agensi dan pakar-pakar yang arif tentang kraf dan tekstil batik untuk turut serta dan mengambil bahagian dalam perundingan awam ini,” katanya.
     
Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berkata penetapan definisi rasmi Batik Malaysia ini menjadi garis panduan dan rujukan utama kepada pihak berkuasa dan berkepentingan bagi tujuan pengklasifikasian produk tekstil Batik Malaysia, pengawalan dan perlindungan.
     
“Dalam masa yang sama, sebaran maklumat mengenai Batik Malaysia akan lebih konsisten dan secara tidak langsung meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat terhadap ciri-ciri tekstil buatan Malaysia ini.
     
Kraftangan Malaysia telah mengadakan tujuh (7) siri perbincangan untuk mewujudkan satu definisi yang ringkas dan padat bagi menjelaskan ciri-ciri Batik Malaysia. Siri perbincangan ini bermula pada 11 September 2019 dan telah berakhir pada 8 September 2020,” katanya.
     
Susulan daripada siri perbincangan tersebut dan kerjasama bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), inisiatif ini diteruskan dengan usaha mendapatkan maklum balas daripada masyarakat umum, melalui portal Unified Public Consultation (UPC) https://upc.mpc.gov.my. (Kata Kunci Konsultasi – Batik Malaysia, dan klik “Definisi Batik Malaysia”).

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
 
Perbadanan Produktiviti Malaysia adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mempromosikan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri tempatan, bercita-cita menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing dan inovasi global.

Info Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Kraftangan Malaysia adalah peneraju dalam pemerkasaan industri kraf negara yang mapan dan berdaya saing. Kraftangan Malaysia juga bertanggungjawab untuk memacu pembangunan industri kraf yang menjadi sebagai pemangkin sosioekonomi negara yang mampan serta melaksanakan perlindungan seni kraf warisan.

Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

http://bernamamrem.com/mrembm/viewsm.php?idm=14612

Thursday, June 3, 2021

MEMBINA MASA DEPAN YANG LESTARI: HISENSE DAN PEKERJA MEREKA



QINGDAO, China, 2 Jun (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Menjalani kehidupan mengikut kebiasaan baharu, ESG telah menjadi satu daripada topik paling popular di dunia. Satu kesan positif terhadap masyarakat dan menyediakan peluang-peluang pembangunan yang berterusan bagi pekerja telah secara beransur-ansur menjadi kriteria baharu bagi syarikat-syarikat untuk menerangkan pertumbuhan mereka. Dengan memberikan keutamaan kepada bakat, Hisense berusaha untuk membina sebuah pasukan global yang termasuk pekerja daripada pelbagai budaya dan pengalaman unik, dan untuk menyediakan persekitaran kerja yang sama rata dan sihat bagi mendorong kejayaannya. Bersama dengan lebih 90,000 orang pekerja di seluruh dunia, Hisense sedang mencipta satu masa depan yang lestari dan sentiasa memberikan pengaruh sosial yang positif.

Siaran media ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini:
https://www.businesswire.com/news/home/20210601005474/en/

Memberi tumpuan kepada pemupukan bakat tempatan dan rangkuman kebudayaan

Hisense menyokong masyarakat tempatan untuk mengurangkan tekanan pengangguran mereka dan bagi mengurangkan kadar jenayah yang berkaitan secara tidak langsung. Melalui pelaburan mereka di taman-taman perindustrian di seluruh dunia, Hisense mewujudkan lebih daripada 3,000 jawatan pekerjaan di Afrika Selatan dan lebih 2,000 di Mexico dengan satu jangkaan untuk berkembang menjadi lebih 7,000 pada masa akan datang, yang berjaya membantu wilayah tempatan mengembangkan ekonomi mereka dan meningkatkan pembangunan yang berterusan.

Hisense menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang sama rata tanpa mengira kaum dan jantina dengan latihan profesional dan sistematik semasa merekrut pekerja tempatan. Sebagai contoh, Nicalette, seorang ibu tunggal, yang menyertai Hisense Afrika Selatan pada tahun 2002, telah dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Selepas Jualan melalui prestasi kerja beliau yang sangat baik dan keupayaannya yang berkembang pantas. Sistem pekerjaan dan pemupukan bakat Hisense telah meningkatkan minat beliau untuk bekerja dan juga menjadikan kehidupannya bertambah baik, menurut Nicalette.

Memelihara perkembangan kerjaya pekerja

Untuk memperkasakan pekerja, Hisense telah mewujudkan syarat dan ruang yang diperlukan bagi mereka memaksimumkan potensi dan nilai mereka. Hisense melaksanakan satu mekanisme kenaikan pangkat yang fleksibel, yang membolehkan pekerja untuk memilih di antara laluan kerjaya bagi “pengurusan” dan “R&D” untuk pengembangan seterusnya, yang memastikan satu saluran kenaikan pangkat yang lancar bagi semua orang.

Kolej Hisense, universiti korporat itu, berhasrat untuk membantu pekerja mencapai perkembangan kerjaya yang lebih baik. Satu struktur latihan yang komprehensif dan pelbagai platform latihan dalaman (termasuk kuliah luar talian, laman web, APP, dll.) telah disediakan untuk membantu pekerja belajar dan memperbaiki diri pada bila-bila masa, di mana sahaja.

“Apa yang menjadikan bekerja di sini berbeza daripada syarikat lain adalah bahawa Hisense sentiasa memberikan motivasi kepada pekerja mereka untuk mencapai matlamat kerjaya dan memberikan mereka sokongan, yang membolehkan mereka untuk berkembang dengan syarikat itu.” kata Robin Silberbauer, yang menyertai Hisense Afrika Selatan pada tahun 2015.

Memelihara kesihatan dan kesejahteraan pekerja

Semasa pandemik itu, Hisense telah melakukan segala yang mungkin untuk menjamin kesihatan pekerja dan keluarga mereka dengan mengedarkan bahan-bahan pencegahan wabak dan menyokong bekerja di rumah.

Hisense juga bekerjasama dengan organisasi EAP (“Program Bantuan Pekerja”) profesional untuk menyediakan penjagaan kesihatan mental bagi pekerja dan keluarga mereka, agar setiap pekerja boleh dengan mudah mendapatkan perkhidmatan kaunseling psikologi profesional, yang secara efektif membantu mereka meningkatkan kesihatan mental dan menyahut cabaran-cabaran kerja dan kehidupan.

Hisense akan menumpukan perhatian kepada pengembangan bakat dalam jangka panjang dan secara aktif mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang inklusif untuk memajukan pembangunan berterusan bagi komuniti tempatan dengan tenaga kerja global mereka.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14606

PERANAN PERTANIAN BANDAR DALAM KELESTARIAN SEKURITI MAKANAN

JELI3 Jun (Bernama) -- Pertanian bandar merupakan inisiatif bertani di kawasan yang minimum untuk menghasilkan tanaman makanan segar, sihat dan berterusan. 

Aktiviti bertani ini di samping mampu membuahkan hasil secukupnya untuk kegunaan isi rumah seharian, ianya juga boleh dijadikan sebagai satu sumber penjanaan pendapatan keluarga di kawasan urban.

Istilah urban farming ataupun pertanian bandar pada awalnya tidak dikenali ramai walaupun aktiviti bertani di kawasan kampung mahupun bandar telah wujud sejak sekian lamanya.

Jejaklah kaki dimana-mana kawasan perumahan di bandar, pinggir bandar ataupun perkampungan, saya yakin boleh terjumpa sayur sawi, daun kari, pokok bendi, pokok manga, serai, kunyit dan pokok pisang, ditanam untuk kegunaan komuniti ataupun sesebuah keluarga di kawasan perumahan itu. 

Pertanian bandar mula disebut-sebut sejak awal tahun 2000 dengan pengenalan kepada sistem hidroponik. Penggunaan hidroponik dilihat seperti penganti kepada penggunaan tanah, sesuai untuk masyarakat perumahan bangunan tinggi, pangsapuri ataupun yang tidak mempunyai kawasan tanah di sekitar rumah. 

PERANAN PERTANIAN BANDAR DALAM KELESTARIAN SEKURITI MAKANAN

Wednesday, June 2, 2021

KAEDAH BUKAN EKUITI BAGI PERDAGANGAN DI ANTARA INDONESIA DAN JEPUN DILIHAT MENAWARKAN PELUANG-PELUANG UNTUK MENYERTAI RANGKAIAN PENGELUARAN ANTARABANGSA MENURUT KAJIAN OLEH PUSAT ASEAN-JEPUN




TOKYO, 1 Jun (Bernama-BUSINESS WIRE) -- 

Pusat ASEAN-Jepun (AJC) telah menerbitkan makalah ke-7 mengenai siri “Kaedah Bukan Ekuiti bagi Perdagangan di ASEAN: Menggalakkan bentuk baharu bagi perdagangan di  antara Jepun dan ASEAN” yang memberi tumpuan kepada Indonesia pada Mac 2021. Hasil penemuan bagi makalah tersebut telah dibentangkan di dalam “Webinar mengenai Kaedah Bukan Ekuiti bagi Indonesia” oleh AJC yang diadakan pada 27 Mei, 2021. Menurut makalah tersebut, kaedah bukan ekuiti (NEM) bagi perdagangan di Indonesia diramalkan berpotensi memainkan satu peranan di dalam memperluaskan peluang untuk mengambil bahagian di dalam rantaian nilai global dan adalah sangat penting bagi pembangunan ekonomi inklusif terutama dalam pandemik COVID-19.

Siaran media ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini:
https://www.businesswire.com/news/home/20210601005358/en/

Indonesia adalah ekonomi ketujuh terbesar di dunia, dan satu pertiga ekonominya disumbangkan oleh pelaburan. NEM di Indonesia wujud di dalam industri getah asli dalam bentuk pertanian kontrak, di dalam industri kasut melalui penyumberan luar dan subkontrak, di dalam kedai makanan segera dan serbaneka melalui francais, dan di dalam rantaian hotel antarabangsa melalui kontrak pengurusan atau perjanjian perlesenan. Kelulusan Undang-undang nombor 11 bagi tahun 2020 mengenai Penciptaan Pekerjaan baru-baru ini bertujuan untuk memudahkan rintangan utama kepada pelaburan di Indonesia, dan memberi manfaat juga kepada NEM dengan menarik pelabur ke Indonesia dengan kemudahan yang dijangkakan untuk menjalankan perniagaan di negara itu.

NEM menyediakan peluang yang tidak terdapat di dalam pelaburan langsung asing (FDI). Sebagai contoh, ia adalah satu pilihan yang menarik bagi pemilik jenama antarabangsa dan perbadanan transnasional (TNC) untuk mempertimbangkan kelenturan mereka bagi memasuki pasaran Indonesia melalui perjanjian berkontrak dengan syarikat-syarikat tempatan. Untuk memenuhi standard TNC, syarikat-syarikat tempatan dijangka akan dilengkapi dengan kemahiran dan keupayaan pengurusan dan teknologi. Bagaimanapun, ketika perbadanan transnasional dapat menamatkan kontrak dengan mudah, satu perhubungan jangka panjang tidak dijamin terutamanya apabila kualiti barangan dan perkhidmatan tidak memenuhi standard TNC. Walaupun FDI mungkin mempunyai kelebihan yang lebih baik berbanding dengan NEM dari segi membawa masuk modal, NEM memperluaskan kaedah operasi agar perusahaan tempatan Indonesia terlibat di dalam jaringan pengeluaran antarabangsa.


http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14601